Pelancaran Media: Daiichi Motorcycles

Setelah mendapat info secara last minute dari sebuah blog tempatan, wakil Malaysian Riders sempat menjengah ke lokasi perasmian oleh Daichii Motor pada hari Selasa bersamaan 5 Jun 2012 yang bertempat di Litar Go-Kart Stadium Shah Alam.

Majlis ini dengan rasminya memulakan langkah pihak Daiichi memasarkan model-model motosikal Megelli di Malaysia. Terdapat 4 model dilancarkan iaitu Megelli 250RR, Megelli 250SR, Megelli 250MR dan sebuah model berkapasiti 650cc CF650NK.

Wakil kami sempat memandu uji 3 dari 4 model yang disebut itu dan ternyata jentera-jentera yang baru dilancarkan ini telah bersedia untuk menggegarkan pasaran motosikal Malaysia. Setiap model mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri untuk bersaing dengan jenama-jenama sedia ada dalam pasaran di Malaysia sekarang.

Berikut adalah sedikit ulasan yang dapat kami diberikan setelah ujian dilakukan di litar go-kart Shah Alam ini.

Megelli 250 RR

 *Model ini tidak dapat diuji kerana kehabisan bahan bakar*

Megelli 250 SR

 Model 250SR ini adalah kembar tidak seiras kepada model yang terlebih dulu diumumkan sebelum ini iaitu 250RR. Enjin adalah sama, tetapi posisi tunggangan mereka berbeza. Model ini lebih kepada versi naked kepada 250RR tersebut. Dengan posisi tunggangan lebih touring iaitu tegak, boleh dikatakan feel tunggangan adalah seperti Yamaha Fz150i.

Berbekalkan enjin 1 silinder dan ekzos bawah tempat duduk pembonceng, dari segi rupa motosikal ini pasti membuat para peminat motosikal jenis naked ini teruja apabila melihatnya. Namun, henjutan yang diharapkan dari enjin satu silinder ini tidak seperti diharapkan. Jika dibandingkan dengan pesaing Jepun mereka, seperti Honda CBR250. Torque yang dihasilkan oleh Megelli 250SR ini nyata lebih rendah. Bagaimanapun, kawalan motosikal ini memasuki selekoh tajam nyata menakjubkan. Terbukti juga chasis motosikal ini dikira dengan tepat, membolehkan penunggang mengambil selekoh dengan yakin. Pasti tiada masalah untuk penunggang baru untuk mengeksploitasi kelebihan itu.

gambar salah seorang orang awam yang memandu uji jentera Megelli 250MR

Seterusnya, Megelli 250MR adalah jentera dalam keluarga motard. Setelah agak kecewa dengan kuasa 250SR yang tidak seberapa, wakil kami dikejutkan dengan prestasi enjinnya yang agresif dan nyata berbeza dibanding dengan 250SR sebelum ini. Ia mampu bersaing dengan jenama lain dalam kategori motard ini. Dengan torque yang dihasilkan oleh motosikal ini, wheelie mampu dibuat sehingga ke gear 3 kerana tujahan yang kuat dapat dirasai dengan jelas setiap kali menukar gear. Dari faktor kawalan juga, motosikal ini direka dengan tepat dan sedap untuk mengambil sebarang bentuk selekoh dalam tunggangan. Sebuah model yang patut dipandang serius untuk peminat-peminat motard tanah air.

 CF MOTOR 650 NK

 Daiichi menunjukkan kesungguhan mereka untuk meneroka industri motosikal berkuasa tinggi di Malaysia dengan melancarkan model CF 650NK ini. Seperti nama dan rupanya yang tidak terlalu jauh beza dengan model Kawasaki er6n, jentera ini sememangnya menyasar pasaran yang sama.

Dari segi tunggangan, pickup 650NK adalah lebih berkuasa dari er6n. Faktor kawalan juga lebih ringan dan mudah dikendalikan di selekoh berbanding pesaingnya itu. Dengan kata lain, apa sahaja yang mampu dilakukan er6n, dapat dilakukan oleh 650NK ini, dengan lebih mudah.

Seharusnya ia bukanlah saingan Yamaha xj6 yang menawarkan bunyi enjin lebih garang dari 4 silindernya, tetapi CF 650NK dijangkakan memecah monopoli er6n untuk kategori seumpamanya.

 Tiada komen konkrit dapat diberikan tentang top speed jentera-jentera ini memandangkan sifat litar go-kart Shah Alam yang pendek, tetapi fokus kawalan dan torque jentera menjadi perhatian sepanjang ujian.

Malaysian Riders ingin mengucapkan tahniah kepada Daiichi dengan majlis pelancaran ini, dan berharap jentera Megelli dapat terus menghangatkan pasaran motosikal di Malaysia dengan lebih banyak model-model menarik dengan harga mampu milik seperti yang dilakukan mereka sekarang. Ia adalah perkembangan yang sangat sihat kepada industri automotif tanah air khususnya dalam arena motosikal.

Teruskan bersama kami di Malaysian Riders untuk maklumat lanjut dan sesi ulasan penuh untuk motosikal-motosikal ini pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Tompoq