Apakah Itu Rempit United?

Apakah itu Rempit United? Sekiranya kita membuat pentafsiran secara terus, maksudnya adalah “Rempit Bersatu”. Adakah ini sesuatu yang positif? Mungkin ramai yang akan mengatakan bahawa ini mungkin akan mendatangkan masalah kepada negara apabila semua mat-mat rempit di Malaysia ini bersatu dan mereka akan menimbulkan masalah dengan lebih banyak seperti kegiatan lumba haram, pergaulan bebas dan juga jenayah.

Persepsi ini yang ingin dihapuskan oleh pelopor atau peneraju (Wazi Abdul Hamid) “Rempit United” ini. Mereka dikatakan menubuhkan Rempit United ini bagi mengubah persepsi orang ramai terhadap golongan yang boleh dikatakan sebagai golongan bermasalah ini kepada golongan yang berguna dan berwawasan. Penubuhan “Rempit United” yang menerima kerjasama Kementerian Dalam Negeri ini dikatakan mahu menjadi sebagai platform buat golongan yang dilabel “rempit” ini untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.

Merujuk kepada laman Rempit United, kami tidak menemui apa-apa penjelasan dengan mendalam terhadap apa sebenarnya tujuan, objektif, program dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak membantutkan usaha kami untuk memahami sendiri apa itu Rempit United dan memberi perkongsian kami kepada orang ramai. Jujur dikatakan, ada pihak yang skeptikal dengan penubuhan “Rempit United” dan tidak perlu kami terangkan dari aspek apa yang menjadi keraguan sesetengah pihak itu.

Jadi, apa rumusannya? Buat masa ini. kami sendiri tidak pasti bagaimana untuk menyatakan tentang Rempit United ini. Kami akan cuba dapatkan penjelasan dari pihak Rempit United sendiri dan berkongsi informasi tersebut dalam masa akan datang. Teruskan bersama kami untuk butiran-butiran lanjut.