SUZUKI MALAYSIA LANCARKAN SUZUKI GIXXER 250 DAN GIXXER SF250 BAHARU!

KUALA LUMPUR, 6 November 2023 – Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. kini melancarkan model terbaru Suzuki GIXXER 250 dan GIXXER SF250, sekaligus menandakan Suzuki Malaysia kini rasmi ke pasaran segmen motosikal 250cc di dalam negara. Suzuki GIXXER 250 dan GIXXER SF250 berkongsi spesifikasi enjin dengan kuasa sesaran 249cc jenis Enjin Tunggal Satu Silinder (SOHC) yang secara langsung memberikan kuasa sebanyak sebanyak 26.7hp pada 9300rpm dan membekalkan puncak tork sebanyak 22.2Nm pada 7300rpm.

Salah satu ciri inovatif utama GIXXER adalah enjin satu silinder yang direka secara kompak dengan sistem penyejukan minyak Suzuki Oil Cooling System (SOCS) yang inovatif daripada Suzuki. Dilengkapi dengan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP) yang memberikan kecekapan penggunaan petrol yang luar biasa, enjin pada GIXXER ini juga turut menghasilkan kuasa yang optimum, ketahanan maksimum serta kemudahan penyelenggaraan kepada pemiliknya.

Maka, tidak menghairankan apabila enjin model GIXXER ini menerima pentauliahan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga Malaysia atau Energy Efficient Vehicle (EEV). Dengan kapasiti tangki minyak 12 liter, motosikal ini boleh mengembara sehingga 400km dengan hanya satu isian tangki penuh. GIXXER turut dilengkapi dengan ciri brek keselamatan ABS, transmisi 6-kelajuan, kawalan kendalian yang kemas serta fleksibel menjadikannya pilihan sesuai untuk kegunaan harian di bandar dan perjalanan ride yang jauh. Kedua-dua model juga dilengkapi dengan Suzuki’s Easy Start System untuk kemudahan menghidupkan enjin motor buat penggunanya.

Walaupun kedua-dua model ini berkongsi kecekapan kuasa enjin yang sama, terdapat perbezaan jelas di dalam penyesuaian rekaan bentuk dan pemadanan ergonomik yang kemas oleh Suzuki. GIXXER SF250 dipadankan dengan reka bentuk sisi berfairing penuh yang lebih garang serta bercirikan kendalian perlumbaan, manakala GIXXER 250 pula mengambil pendekatan rekabentuk tempat duduk yang lebih tegak dan sisi terbuka untuk mereka yang lebih gemarkan pengalaman kendalian santai yang berbeza.

Selain bahagian kekemasan yang dititkberatkan seperti kluster meter LCD sepenuhnya, Suzuki turut melengkapkan GIXXER kali ini dengan identiti trend ranggi seperti muffler ekzos dua saluran dengan kemasan krom, roda aloi sepenuhnya dengan jaluran grafik serta madgad penutup tayar belakang yang bergaya. GIXXER 250 juga datang dengan reka bentuk lampu hadapan LED separa-oval yang futuristik, manakala GIXXER SF250 hadir dengan rekabentuk lampu hadapan LED paruh-ultra yang aerodinamik.

Menyedari bahawa GIXXER bakal menjadi tarikan khusunya pemilik lesen B2 di Malaysia, kedua-dua model ini dipasarkan di Malaysia sebagai unit pemasangan Complete Knock-Down (CKD). GIXXER 250 boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik: Metallic Met Stellar Blue dan Metallic Matte Black No. 2. Sementara itu, model GIXXER SF250 menawarkan pilihan Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) dan Metallic Matte Black No. 2.

Kedua-dua varian warna GIXXER 250 ditawarkan dengan harga RM14,500.00. Model GIXXER SF250 dengan warna Metallic Matte Black No. 2 ditawarkan dengan harga RM15,200.00, manakala GIXXER SF250 dalam versi Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) ditawarkan pada harga RM15,500.00. Harga- harga ini tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Leave a comment