Pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Dataran Seri Jempol pada hujung minggu ini. Siapakah di antara mereka di kategori CP125 yang mampu mengorak langkah seterusnya ke arah kejuaraan?

Setelah menamatkan perlumbaan di podium pada setiap pusingan kecuali di pusingan keempat di mana beliau DNF, Md Syamil Amsyar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akhirnya meraih kemenangan pertamanya di pusingan lepas. Buat masa ini, Syamil menduduki tempat pertama secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 109 mata. Sepanjang musim ini, Syamil telah tampil dengan prestasi yang hebat berbanding dengan musim lepas yang juga merupakan tahun pertama beliau di kategori CP125. Dengan peningkatan prestasi dan pencapaian yang agak kukuh pada musim ini, mampukah Syamil mencapai pencapaian yang lebih baik di litar Jempol berbanding dengan musim sebelumnya di mana beliau hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan belas?

Menurut Syamil, “Saya akan lebih berwaspada di pusingan Jempol nanti supaya tidak melakukan kesilapan. Pelannya adalah untuk buat masa terbaik di sesi kelayakkan supaya saya dapat berada di hadapan di waktu perlumbaan. Jumlah mata keseluruhan di antara saya dengan di tempat kedua tidak banyak berbeza. Oleh itu, strategi amat penting untuk setiap sesi supaya saya boleh menjarakkan lagi mata keseluruhan saya dengan pesaing terdekat. Saya agak teruja dengan pencapaian saya buat masa kini dan tidak sangka dapat menaiki podium sebanyak enam kali. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh leka dan harus sentiasa fokus untuk kekal konsisten. Pada tahun pertama saya, saya banyak belajar daripada pelumba-pelumba lain yang berpengalaman. Pada musim ini pula, saya mula membina momentum saya daripada apa yang saya pelajari. Pasukan saya banyak memberikan sokongan dan dorongan. Saya juga percaya dan yakin dengan diri saya dan dengan strategi yang teratur, saya bersama rakan sepasukan saya akan buat yang terbaik.”

Bagi pesaing terdekatnya, Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, persaingannya agak berbeza di kategori CP125 berbanding dengan musim lepas di mana beliau bersaing di kategori CP150. Perubahan kategori ini telah memberikan beliau semangat baharu lebih-lebih lagi dengan dua kemenangan berturut-turut dan satu podium di pusingan-pusingan sebelum ini yang telah menempatkan beliau di tangga kedua secara keseluruhan. Pada musim lepas di litar Jempol, Izam DNQ lalu tidak dapat mengumpul sebarang mata. Memandangkan pencapaiannya beliau yang agak bagus dan prestasinya yang meningkat pada musim ini, mampukah beliau memberikan saingan kepada pelumba-pelumba lain untuk mara ke arah kejuaraan?

Menurut Izam, “Untuk pusingan yang akan datang, pelan saya adalah untuk buat yang terbaik supaya dapat menaiki podium sekali lagi. Saya perlu merapatkan jurang perbezaan di antara pesaing terdekat saya untuk mendapat peluang kejuaraan. Pada musim lepas, saya tidak lepas untuk ke perlumbaan akhir kerana tidak sihat. Tetapi tahun ini adalah tahun baharu bagi saya di kategori CP125 dan saya berharap dapat mencabar pelumba-pelumba lain di litar tersebut yang juga merupakan litar kegemaran saya. Persediaan saya seperti biasa, dari segi “cardio” dan juga latihan untuk menguatkan lagi daya mental saya untuk sentiasa bermotivasi. Dari segi jentera pula, saya berharap keadaannya lebih bagus daripada pusingan lepas. CP125 bagi saya tidak ada kesukaran yang ketara. Pesaing terdekat saya adalah Syamil tetapi Irfan juga mempunyai kelebihan secara keseluruhan maka persaingan sudah pasti sengit. Matlamat saya adalah untuk meraih kejuaraan. Pada mulanya, saya hanya berikan fokus untuk berada di tempat ketiga teratas tetapi sekarang, saya akan lebihkan fokus ke arah kejuaraan.”

Leave a comment

DEFENSIVE RIDING

“It doesn’t matter how good you are at riding a motorcycle, heck you could even be a GP rider. But you can’t control others on the road and there will always be that one dumbass that can potentially cause you lots of trouble. Stay safe, stay defensive and stay focused on your bike.”

~ Pak Mat Roger