Aveta Global Marketing Sdn Bhd, pengeluar, pemasang, dan pengedar motosikal jenama Aveta, dengan rasminya melancarkan model dwi-kegunaan VTM 250, sebagai tambahan terbaru dalam rangkaian motosikal adventure mereka.

VTM 250 didatangkan dalam dua varian, setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan pembeli yang berbeza. Varian LX, yang akan tersedia pada hujung bulan Oktober, direka khas untuk peminat enduro yang bersedia untuk meneroka pelbagai jenis permukaan dan laluan mencabar. Manakala varian M, yang akan memasuki pasaran pada Disember ini, adalah pilihan komuter harian yang bergaya, menyeronokkan, dan praktikal – sebuah model yang mampu milik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman supermoto.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enjin yang sama, iaitu silinder tunggal, 250cc SOHC dengan sistem penyejukan minyak dan transmisi manual 6-kelajuan. Perbezaan utama adalah jarak ketinggian tanah dan saiz roda. LX memiliki jarak kelegaan bumi lebih tinggi iaitu 305 mm, dengan rim depan 21-inci dan rim belakang 18-inci, manakala varian M pula menawarkan jarak ketinggian tanah 290 mm dengan rim aluminium depan-belakang 17 inci.

Rim aluminium untuk varian M bukan hanya meningkatkan daya ketahanan tetapi juga mengurangkan berat keseluruhan motosikal, menambah baik ketangkasan dan pengendalian untuk tunggangan di jalan raya. Sebagai tambahan, skim warna juga berbeza, LX ditawarkan dengan pilihan Arsenal Red atau Army Green, dan M hadir dengan pilihan Blazing Red atau Admiral Blue.

VTM 250 LX ditawarkan pada harga RM12,988.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) manakala varian M akan dijual pada harga runcit RM13,388.00. Kedua-dua varian itu didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000km, yang mana tiba dulu.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta, Steven Lim, model dwi-kegunaan VTM 250 menguatkan nilai teras jenama Aveta, sinonim dengan gaya hidup bermotosikal unik yang melangkaui batasan serta menawarkan cabaran dan keseronokan tanpa had pada harga mampu milik.

“VTM 250 bukan sahaja dilengkapi pelbagai ciri, malah ia juga mudah diselenggara dan sah digunakan di jalan raya. Dengan adanya lampu isyarat dan cermin sisi yang bersesuaian, para penunggang boleh menggunakannya di jalan raya dan juga off-road. Tidak perlu trak pikap untuk mengangkutnya ke tapak latihan atau perlumbaan. Kami yakin ia akan menarik minat bukan sahaja pencinta enduro dan supermoto yang mencari keseronokan hujung minggu tetapi juga mereka yang mahukan komuter harian yang bergaya dan menyeronokkan,” jelas beliau.

Susulan kejayaan Ranger Max Explorer, Aveta yakin dengan respons pasaran terhadap VTM 250 dan merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model pada tahun 2025, semuanya disasarkan kepada segmen gaya hidup kembara.

“Kejayaan Ranger Max Explorer melangkaui semua jangkaan kami. Misi kami adalah untuk menyampaikan produk-produk menarik, berasaskan pengembaraan yang membolehkan setiap rakyat Malaysia untuk merasai kebebasan dan keseronokan tunggangan. Dengan VTM 250, impian ini semakin menjadi kenyataan,” tambah Steven.  

Syarikat juga merancang untuk terus menguatkan rangkaian sokongan perkhidmatan selepas jualannya, yang buat masa ini merangkumi sejumlah 16 Aveta Authorised Service Corners di seluruh negara, selain program servis mudah-alih untuk pelanggan, Aveta Care on Wheels.

Sebagai tambahan, Aveta sedang meluaskan rangkaian dengan sembilan (9) stokis di seluruh Malaysia, menawarkan akses lebih mudah kepada pelanggan untuk mendapatkan alat ganti tulen dan perkhidmatan, dengan rancangan untuk terus meningkatkan lagi bilangan stokis demi memberi khidmat terbaik kepada penunggang di seluruh negara.

Untuk menggalakkan pembelian lebih awal dan menambah rasa eksklusif, kini Aveta sedang menawarkan set eksklusif Pembelian dengan Hadiah (GWP) untuk 50 pelanggan pertama setiap varian VTM 250 (LX dan M). Untuk maklumat lanjut tentang motosikal Aveta di Malaysia, sila layari laman www.aveta.com.my.

Leave a comment

DEFENSIVE RIDING

“It doesn’t matter how good you are at riding a motorcycle, heck you could even be a GP rider. But you can’t control others on the road and there will always be that one dumbass that can potentially cause you lots of trouble. Stay safe, stay defensive and stay focused on your bike.”

~ Pak Mat Roger