
Dianjurkan di litar PETRONAS Sepang baru-baru ini, Yamaha dengan rasmi telah melancarkan model terkini MT-09 yang merupakan model motosikal yang menjadi pilihan ramai dalam segmen tersebut dalam tempoh beberapa tahun kebalakangan ini. Model baharu kali ini baru sahaja diperkenalkan di pasaran global beberapa bulan lalu dan kini rasmi memasuki pasaran Malaysia dengan harga dibuka dari RM57,998 sahaja.
Namun begitu, model yang agak mencuri perhatian di pasaran global dengan sistem penukaran gear separa automatik Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT) tidak hadir untuk pasaran Malaysia. Oleh itu, peminat jenama Yamaha hanya boleh memilih varian Standard yang diberikan naik taraf dari segi visual dengan rekaan segar melalui lampu hadapan dipadankan dengan lampu LED dan lampu projektor di tengah untuk pencahayaan lebih cerah.

Selain itu, rekaan tangki minyak juga diperbaharui dengan fokus terhadap keselesaan penunggang dan juga memberikan posisi tunggangan lebih optima disamping tempat duduk menerima konfigurasi tempat duduk jenis dua bahagian. Pembaharuan ini juga dikatakan berlaku atas faktor naik taraf pada bahagian subframe yang dinyatakan akan memberikan tunggangan yang lebih tepat dan juga terkawal dalam pelbagai situasi dan keadaan.

Mengikuti perederan semasa, padanan paparan TFT juga melengkapi jentera MT-09 versi baharu ini dengan bersaiz 5 inci serta boleh dihubungkan bersama telefon pintar penunggang melalui sistem Y-Connect dan Garmin Streetcross. Di samping itu, bahagian pemegang motosikal baharu ini juga terdapat suis kawalan yang menampilkan ciri cruise control dan juga radial master cylinder daripada Brembo.
Yamaha MT-09 baharu ini dikuasakan oleh enjin CP3 tiga silinder 890cc penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa sekitar 119hp dan daya pecutan 93Nm tork yang mana merupakan unit kuasa yang sama dengan versi terdahulu. Biarpun ia tidak menerima sistem Y-AMT, unit enjin ini dipadankan dengan unit transmisi enam kelajuan yang hadir bersama quickshifter generasi ke-3 Yamaha. Warna yang ditawarkan bagi Yamaha MT-09 generasi baharu ini adalah Cyan dan hitam matte.

Ikuti perkembangan lanjut tentang jentera ini bersama kami untuk sesi ulasan melalui tunggang uji yang dilakukan di litar antarabangsa PETRONAS Sepang.


Leave a comment