
Dalam berita yang kami terima baru-baru ini, Modenas telah menjalankan aktiviti penyerahan rasmi buat salah satu anak syarikat DRB-Hicom iaitu Pos Laju dibawah kelolaan Pos Malaysia. Sejumlah 1,092 unit motosikal jenis elektrik telah diserahkan dalam fokus mereka untuk terus memperkasa armada pengangkutan sedia ada syarikat penghantaran ekspres itu bagi operasi nya di seluruh Malaysia.
Motosikal jenis elektrik yang dikenali sebagai MEV-1 Pro ini merupakan kerjasama antara Modenas dan VMoto dalam usaha mereka untuk memenuhi keperluan kakitangan penghantar barang Pos Malaysia. Versi baharu ini merupakan penambahbaikan bagi 220 unit sebelum ini yang telah digunapakai pihak Pos Malaysia susulan maklum balas yang diterima melalui kakitangan yang aktif bergerak bagi menjalankan operasi mereka.
Menurut Ketua EV dan Penasihat Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Modenas, Azizul Aziz Ishak, pasukan jenama mereka mengambil masa selama satu tahun bagi menguji dan membuat penambahbaikan terhadap keupayaan jentera tersebut. Kata beliau, “Kemampuan mendaki sebelumnya hanya 14 darjah sekarang penambahbaikan hampir 20 darjah. Jadi motor boleh mendaki pada cerun lebih tinggi. Berbanding kumpulan pertama, MEV-1 Pro ini lebih tahan panas disebabkan perubahan dalam vehicle control unit dan sistem bateri. Jadi motor tidak akan panas mengambilkira operasi kerja Pos Laju yang ekstrem”.
Jentera MEV-1 Pro ini dikatakan telah melalui ujian melebihi 10,000km dan berkemampuan beroperasi sejauh 140km dengan satu pengecasan. Ini memberi gambaran bahawa ia cukup bagi menjalankan operasi yang diperlukan oleh pihak Pos Laju atau Pos Malaysia. Setakat hari ini, tiada lagi pengesahan atau maklumat yang diterima bagi penjualan jentera ini buat pengguna umum di Malaysia. Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa dalam tahun 2025, Modenas mungkin akan mula mengorak langkah dalam penjualan secara terbuka bagi model motosikal jenis elektrik bagi pasaran di Malaysia mahupun rantau ini.



Leave a comment