
Hari ini merupakan hari penting buat kem pelumba motosikal cilik dari negara bagi memastikan tempat mereka dalam hari perlumbaan esok di Aragon dalam acara FIM MiniGP World Final. Saingan yang cukup sengit sekiranya kita melihat pada catatan masa terkumpul setakat ini yang mana jurang antara pelumba apabila hampir 15 orang pelumba mencatatkan masa yang dipisahkan hanya satu saat sahaja. Malaysia mempunyai empat orang wakil yang bakal bersaing dalam kelas 190cc dan Qabil Irfan menjadi peneraju utama bagi kem negara.
Segar dari aksi terakhir dalam kelas Moto4 baru-baru ini, Qabil cukup menyerlah sejak dari sesi pertama dalam ujian bebas bersama jentera di Aragon. Keadaan cuaca juga memainkan peranan dalam hal ini dan menampakkan sedikit sebanyak pengalaman yang dimiliki pelumba kecil dari Terengganu yang berusia 11 tahun ini memberikan kelebihan buat beliau beraksi dengan lebih tenang dan fokus bagi mendapatkan rentak awal yang baik dalam kejohanan ini. Namun begitu, banyak faktor perlu diambil kira lagi sebelum kita terlalu awal bersorak akan keputusan positif yang dipamerkan setakat ini.
Kendatipun keadaan ini tampak bagus buat nama negara, ia tidak benar-benar menjadi penanda aras yang cukup menyeluruh buat prestasi keseluruhan industri sukan permotoran tanah air dalam aspek bakat muda yang bakal menjadi pelapis buat negara dalam masa terdekat. Tiga pelumba lain yang turut bersama Qabil dilihat sedikit kurang menyerlah buat masa ini dan kita jelas mengetahui bahawa tak semua mempunyai pengalaman dan teknik yang cukup mampan sepertimana Qabil miliki buat masa ini. Persoalan utama buat kami yang memerhati keadaan ini adalah perancangan masa akan datang keluarga, dan juga pihak pengurusan pasukan pelumba-pelumba cilik ini bagi menjadikan tahap mereka lebih rapat supaya persaingan sehingga mereka lebih meningkat dewasa menjadi satu taraf yang terbaik buat arena sukan permotoran dua roda tempatan.

Walau bagaimanapun, kami tetap perlu menegaskan bahawa apa yang dilaksanakan oleh kem Malaysia yang dipimpin oleh bekas pelumba kebanggaan negara Zulfahmi Khairuddin kini menjadi lebih sistematik dan tersedia bagi menggalas cabaran di peringkat tertinggi peringkat umur ini. Kami berharap agar senario dan ekosistem industri sukan dan automotif tempatan dapat cepat memberi reaksi yang menyokong pemabangunan ini ke tahap yang lebih baik selepas ini supaya tidak berlaku terputus peluang bagi mereka yang mempunyai keupayaan sebegini tidak dapat meneruskan cabaran di tahap tertinggi secara konsisten.
Buat semua pemerhati dan penyokong sukan permotoran dua roda tempatan, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan terbaik buat pelumba-pelumba muda negara ini agar keputusan yang lebih baik dapat dizahirkan melalui usaha mereka di Aragon hari ini dan esok. Teruskan bersama Malaysian Riders bagi mengikuti perkembangan seterusnya pergerakan sukan permotoran dua roda dari Malaysia dan antarabangsa.



Leave a comment