Jorge Martin memenangi MotoGP World Championship 2024 selepas berjaya mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan akhir di litar Barcelona. Pusingan ini dikenali dengan Solidarity of Barcelona kerana menggantikan litar Valencia yang mengalami kerosakan teruk akibat bencana banjir besar.
Martin adalah pelumba pertama yang memenangi juara dunia dengan pasukan bebas di era MotoGP moden. Tahun ini adalah tahun terakhir Martin bersama pasukan Pramac Ducati sebelum berpindah ke pasukan utama Aprilia untuk musim 2025.
Pusingan akhir ini Martin mempunyai 24 kelebihan mata berbanding pesaing terdekat, Pecco Bagnaia. Perlumbaan Sprint pada hari Sabtu yang dimenangi Pecco berjaya mengurangkan jurang kepada 19 mata.
Perlumbaan utama pada hari Ahad menyaksikan Bagnaia memimpin perlumbaan sepenuhnya dari awal hingga akhir. Martin yang cuba memberi tekanan akhirnya mengambil jalan selamat untuk tidak mengambil risiko yang tinggi dan meneruskan sisa perlumbaan di tempat ketiga sahaja, di belakang Bagnaia dan Marc Marquez.
Aleix Espargaro menjadi tunggak penting yang memastikan Martin berjaya mengakhiri perlumbaan di atas podium. Pelumba senior tersebut yang menganggap Martin seperti anak sendiri, bertarung habis-habisan melindungi Martin daripada diserang oleh pelumba-pelumba lain.
Keputusan MotoGP 2024
- Jorge Martin 508 mata
- Francesco Bagnaia 498 mata
- Marc Marquez 392 mata
kredit gambar: MotoGP



Leave a comment