
Pihak Boon Siew Honda sekali lagi telah menghebahkan perasmian cawangan Honda BigWing mereka dan kali ini cawangan baharu di Melaka telah dirasmikan secara besar-besaran. Kehadiran para bikers, pelanggan, tetamu kehormat dan juga pihak media telah memeriahkan suasana yang dilihat memuatkan lebih kurang 500 orang jemputan. Pelancaran ini telah dihadiri oleh kedua-dua pihak pengurusan dari Boon Siew Honda dan juga M.P. Goh Motor Sdn. Bhd selaku pengendali operasi cawangan BigWing Melaka ini.

Seperti sebelum ini juga, Honda BigWing Melaka ini sudahpun dinaik taraf supaya ia memperlihatkan konsep yang lebih sofistikated dan moden selari dengan hala tuju yang diambil oleh jenama Honda di pasaran global. Pendekatan ruang jualan yang berkonsep juga turut digunapakai bagi memberi kelainan dan persembahan visual yang menarik buat para pelanggan yang hadir. Bercakap dalam majlis tersebuh, pengarah urusan M.P. Goh Motor Sdn. Bhd. iaitu Mr. Goh Ting Xin telah menyatakan hasrat beliau bagi memberikan keselesaan dan juga pengalaman yang lebih baik buat para peminat jenama motosikal Honda di sekitar Melaka melalui usaha mereka dengan rangkaian BigWing ini.

Beroperasi sejak dari penghujung tahun 2023, Honda BigWing Melaka ini menyasarkan peningkatan penjualan dan servis buat tahun mendatang berikutan model-model yang lebih menarik yang ditawarkan serta keupayaan sokongan selepas jualan yang lebih tersedia berbanding tahun-tahun sebelum ini. Melalui majlis ini, kami diperlihatkan sokongan yang cukup ampuh dari kalangan pelanggan dan juga komuniti setempat buat jenama Honda yang sedia ada menjadi jenama yang sinonim dengan rakyat Malaysia.
Kami menjangkakan, pihak Honda BigWing Melaka bakal terlibat dengan lebih banyak acara setempat dan juga nasional bagi memperkuatkan hubungan jenama tersebut dengan para peminat mereka di seluruh negeri Melaka. Seperti yang dilihat baru-baru ini melalui penglibatan mereka dalam menyokong acara yang berlangsung sempena kejohanan MotoGP di Sepang yang turut disertai Honda BigWing Melaka sebagai aktiviti tambahan buat bikers yang mengikuti rapat aturcara yang dianjurkan oleh Honda BigWing Melaka. Untuk info lanjut dan berita terkini dalam dunia permotoran dua roda, teruskan bersama kami di Malaysian Riders.



Leave a comment