SELAYANG, 14 Januari 2025 (Selasa) – Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., dengan kerjasama
Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), hari ini melancarkan
Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji
Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, bersama barisan tetamu
kehormat.
Kempen yang bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” pada tahun
2025 ini dianjurkan buat kali ke-2 oleh Suzuki Malaysia dan kali ke-8 oleh AFY Mobility
Industries (AMI). Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan
raya dalam kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan, dan masyarakat
umum.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah
menekankan statistik kemalangan jalan raya yang membimbangkan:
“Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan
Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 5,939 kematian direkodkan daripada
585,729 kes kemalangan yang dilaporkan sehingga November 2024. Daripada jumlah
tersebut, 67% atau 4,014 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng
motosikal, dengan majoritinya terdiri daripada golongan belia berusia 16 hingga 35
tahun. Golongan ini kini menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian akibat
kemalangan jalan raya.”
Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi turut menegaskan kepentingan memiliki lesen
memandu yang sah bagi penunggang motosikal:
“Saya ingin menarik perhatian semua pihak tentang keperluan kritikal untuk
memiliki lesen memandu yang sah sebelum dibenarkan menunggang motosikal di atas
jalan raya. Langkah asas ini adalah penting untuk memastikan keselamatan semua
pengguna jalan raya.”

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan melalui agensi keselamatan dan
penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam usaha menangani
cabaran ini dan meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna.
Aktiviti Dan Program Kempen.
Kempen ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, termasuk:
- Pemeriksaan motosikal percuma – ‘16-point check’ oleh mekanik bertauliah
Suzuki Malaysia. - Penukaran 400 unit topi keledar baharu kepada penunggang motosikal.
- Pemberian topi keledar kanak-kanak sebagai simbolik langkah perlindungan
penumpang muda. - Pameran motosikal dan aksesori keselamatan.
Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan
Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. dalam ucapannya menekankan komitmen Suzuki Malaysia
untuk terus menyokong inisiatif keselamatan jalan raya terutama penunggang motosikal
demi kesejahteraan masyarakat.

Majlis gimik perasmian disempurnakan dengan acara simbolik pukulan gong oleh
Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, bersama Yang berusaha Encik Yap
Kiew San, Pengerusi MMSDA, dan Yang Berbahagia En. Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya.
Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 menyediakan pelbagai aktiviti
dan peluang pendidikan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya. Dengan
kerjasama semua pihak, kempen ini diharapkan dapat menyumbang kepada
pengurangan kadar kemalangan dan membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat
di Malaysia.



Leave a comment