Aveta Motor Malaysia melancarkan skuter terbaharunya, Vanguard 250, ke pasaran Malaysia dengan harga bermula RM14,488 untuk varian Standard dan RM16,388 bagi edisi SE (Special Edition). Vanguard 250 hadir dengan dua pilihan warna iaitu Nano Grey untuk varian Standard, manakala varian SE ditawarkan dalam warna Majestic Green dan Titanium Grey.

Skuter ini dibina berasaskan platform Piaggio Nexus 250 dan menjalani ujian ketahanan sejauh 20,000 kilometer di jalan raya Malaysia sebelum dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Aveta menyifatkan Vanguard 250 sebagai skuter ‘Adventure-Touring-Crossover’ (ATC), direka khas untuk pemanduan jarak jauh dengan kemampuan melalui laluan mencabar.

Dikuasakan enjin SOHC 244.2 cc satu silinder, empat injap dengan sistem penyejukan cecair, skuter ini menghasilkan kuasa maksimum 24.8 kuasa kuda (hp) pada 8,500 putaran per meter (rpm) dan tork 22.5 newton meter (Nm) pada 6,500 rpm. Sistem penghantaran menggunakan ‘continuous variable transmission’ (CVT) bersama tali sawat untuk memacu roda belakang, dengan bahan api disalurkan melalui sistem Bosch EFI.

Perbezaan ketara antara Vanguard 250 Standard dan SE terletak pada sistem suspensi serta spesifikasi tambahan di mana varian Standard dilengkapi fork teleskopik hadapan berdiameter 33 milimeter (mm) dan penyerap hentak berkembar di belakang manakala varian SE menggunakan fork 37 mm serta penyerap hentak berkembar dengan takungan gas.

Sistem brek pada kedua-dua varian dilengkapi cakera 260 mm di depan dan 240 mm di belakang, namun varian SE menggunakan angkup empat piston di depan serta dua piston di belakang. Kedua-dua varian ini dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran serta kawalan cengkaman (traction control) sebagai ciri standard.

Dari segi tayar, varian Standard hadir dengan roda hadapan 14 inci dan belakang 13 inci manakala Varian SE pula dilengkapi roda hadapan 15 inci dan belakang 14 inci.

Panel instrumen juga berbeza di mana varian Standard menggunakan skrin LCD monokrom, manakala varian SE dilengkapi skrin TFT-LCD tujuh inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi aplikasi Aveta dan pemantauan tekanan tayar serta perakam video hadapan (DVR) sebagai ciri standard.

Tangki bahan api Vanguard 250 berkapasiti 13 liter dengan berat keseluruhan 177 kilogram (kg) dan jarak kelegaan tanah 160 mm manakala ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 780 mm, dengan ruang storan di bawah tempat duduk mampu memuatkan sehingga 23.5 liter.

Leave a comment

DEFENSIVE RIDING

“It doesn’t matter how good you are at riding a motorcycle, heck you could even be a GP rider. But you can’t control others on the road and there will always be that one dumbass that can potentially cause you lots of trouble. Stay safe, stay defensive and stay focused on your bike.”

~ Pak Mat Roger