Pada program penyerahan 100 unit pertama Kawasaki ZX6R kepada pemilik terawal di Litar Antarabangsa Sepang, kami berpeluang untuk menunggang uji jentera supersport terbaru dari Kawasaki ini. Kawasaki ZX6R ini adalah batch pertama untuk pasaran Malaysia yang dipasang secara tempatan oleh Modenas di Gurun, Kedah.
1. Kualiti binaan
ZX6R terbaru ini hadir dengan reka bentuk baharu di bahagian fairing hadapan dan lampu hadapan yang baru. Meter TFT 4.3″ berwarna penuh mempamerkan maklumat kepada penunggang secara jelas walaupun di bawah sinar terik matahari. Komponen yang dipasang semua kelihatan kemas dan kukuh.

2. Enjin
ZX6R dikuasakan dengan enjin 636cc four-inline, mengahasilkan sekitar 127hp. Sebelum ini kita sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa motor 600cc perlu ditunggang hanya pada rpm yang tinggi kerana tiada kuasa di rpm rendah, ZX6R ini membuktikan bahawa ia adalah jentera lebih ulung dengan taburan kuasa yang lebih seimbang di keseluruhan rpm. Keluar daripada selekoh, jentera ini tiada masalah untuk memecut laju ketika di rpm rendah dan pertengahan. Keluar daripada selekoh perlahan seperti T4/T9/T15 adalah mudah dengan gear 2 walaupun throttle dimulakan dari rpm rendah dan rpm meningkat dengan stabil walaupun dengan ekzos standard. Jentera ini mempunyai 3 preset riding modes – RAIN (paling rendah kuasa, paling tinggi traction control, ROAD dan SPORT (paling tinggi kuasa, paling rendah traction control) dan 1 mode RIDER dimana penunggang boleh set sendiri tahap traction control dan tahap kuasa mengikut gaya tunggangan tersendiri. Dengan mode SPORT, jentera ini dapat mencapai kelajuan 225kmh ketika menuju ke T15.

3. Kualiti Tunggangan (Brek/Suspensi/Chassis)
Dilengkapi dengan Nissin 4 piston monobloc dengan semi-floating rotor untuk brek hadapan cukup efisien untuk memperlahan jentera ini. Pada kelajuan 220kmh di laluan lurus SIC saya mencuba untuk membrek pada marking 150m dan masih mempunyai masa untuk melepaskan brek sebelum masuk ke T15. Ini bermakna saya boleh brek lebih lewat mungkin pada 130m atau 120m. Untuk jentera standard kilang, ini adalah sesuatu yang menggagumkan.

Di Litar Sepang, suspensi hadapan dan belakang daripada Showa dapat diuji sepenuhnya ketika membrek dan memecut keluar dari selekoh. Respons suspensi yang baik ketika hard braking memberi keyakinan kepada penunggang untuk membrek lebih lewat dan masuk ke selekoh dengan agresif. Suspensi belakang juga memberi peranan penting untuk kestabilan ketika membuka throttle di dalam selekoh, membuka peluang untuk penunggang memulas throttle lebih awal.

Sebagai sebuah jentera supersport, ZX6R sememangnya mempunyai ergonomik yang sangat agresif, pemijak kaki yang tinggi dan kedudukan handlebar clipon yang rendah “memaksa” penunggang untuk sentiasa dalam kedudukan tucked-in. Chassis yang seimbang membuatkan jentera ini mudah untuk dibimbing masuk ke selekoh dan menukar arah serta stabil dalam selekoh pantas seperti T5 dan T6.
4. Penilaian Keseluruhan
Dengan harga jualan hanya RM59,900.00 Kawasaki ZX6R tentunya pilihan terbaik untuk katergori supersport. Dengan pakej yang lengkap dari segi teknologi (quickshifter, riding modes, TFT meter boleh sambung ke applikasi talifon), suspensi boleh laras sepenuhnya dari Showa (pre load, damping, rebound) dan tayar yang bagus dari Pirelli Diablo Rosso 4 sememangnya jentera ini tiada pesaing terdekat yang mampu memberi pakej yang lebih baik. Namun kelebihan jentera ini yang cemerlang di pandu uji di dalam trek mungkin tidak dapat dinikmati oleh penunggang biasa di jalan raya sepenuhnya. Posisi tunggangan yang agresif pastinya tidak sesuai untuk jalan raya kita yang selalu padat dengan trafik serta kondisi turapan tar yanng berlubang-lubang. Sebagai jentera yang fokus untuk tunggangan agresif, penunggang perlu menyesuaikan diri untuk mengawal jentera ini dengan lebih berhati-hati.

Ditulis oleh: Jaykay/Hamizudin Aizat



Leave a comment