Aprilia Malaysia meraikan para peminat jenama mereka dengan majlis Real Team Experience di Litar Gokart Sepang (SKC) dengan menawarkan tunggang uji RS457, RS660 dan Tuono 660.  Para peminat juga dapat bertemu dengan pelumba MotoGP pasukan Aprilia – Jorge Martin dan Marco Bezzechi dan pelumba tunggang uji Lorenzo Savadori.  Litar Gokart Sepang ini adalah litar bersaiz 1.3km dengan reka bentuk yang hampir sama dengan Litar Antarabangsa Sepang memberi peluang untuk mengenali jentera Aprilia dengan lebih mendalam.  Aprilia RS457 dibina untuk memenuhi keperluan pengguna lesen A2 di Eropah yang menghadkan penunggang dengan jentera di bawah 47hp.  Di Malaysia, pengguna perlu memiliki lesen Bfull untuk menunggang jentera ini di jalan raya maka persoalan yang timbul adalah berbaloi atau tidak untuk beli 457cc atau beli terus 600 atau 1000?  Pendapat saya jentera 450cc adalah platform yang baik untuk penunggang yang mahu upgrade dari jentera 250cc dan kebawah sebelum melompat ke 600cc.  Jurang kuasa antara 250cc dan 600cc adalah terlalu besar dan segmen 450cc ini mengisi kekosongan yang selama ini diabaikan pasaran di Malaysia.  Siri Aprilia RS yang terkenal dengan kemampuan di litar pastinya membuat saya teruja untuk menunggang uji RS 457 di litar yang teknikal ini. 

Kualiti Binaan

Dikuasakan dengan enjin twin parallel 457cc menghasilkan sekitar 46hp, jentera ini memang seronok untuk ditunggang di trek kecik seperti SKC ini. Tork yang cukup kuat di rpm rendah dan pertengahan memberi thrill setiap kali keluar dari selekoh.  Namun power band enjin ini agak terhad kerana di rpm tinggi seakan hilang semua tarikan tork tersebut.  Salah satu cara untuk sentiasa berada di power band tersebut adalah dengan ‘short-shift’ di mana penunggang perlu menukar naik gear dengan lebih cepat sekitar di rpm 7000.  Untuk trek yang kecil sebegini pastinya memenatkan untuk penunggang dan sedikit mengganggu fokus. 

Meter panel TFT 5″ berwarna dipenuhi dengan maklumat dan secara peribadi agak padat dan sukar untuk dilihat.  Daripada jauh, panel ini kelihatan besar namun paparan hanya di bahagian tengah sahaja dengan sempadan panel yang sangat besar. Dilengkapi dengan pelbagai bantuan elektronik seperti Ride-by-wire dan 3 mode tunggangan, bukanlah perkara yang mudah untuk menukar setting yang dikehendaki.  Terlalu banyak butang di kluster handlebar dan berbeza cara untuk menukar tetapan di dashboard.  

Dilengkapi dengan tayar Eurogrip Protorq Extreme, menunggang di litar teknikal di hari yang terik sangat mengecewakan.  Tayar ini tidak mampu untuk bertahan 2 pusingan pun serta melecet dengan sangat teruk.  Keluar dari selekoh, penunggang perlu hadkan throttle untuk tidak memecut terlalu laju atau bersedia untuk kehilangan grip di tayar belakang.  Ini satu kerugian kerana tarikan utama RS457 ini adalah kuasa torknya namun tidak dapat dinikmati sepenuhnya gara-gara tayar yang berprestasi rendah. 

Kedudukan pemijak kaki yang tinggi memberi sudut condong yang tinggi dan cukup sesuai untuk diguna terus di dalam litar.  Sedikit kekurangan adalah gearing tidak ‘GP-Shift’ dan tiada ‘quickshifter’.  Ergonomik motor ini agak agresif dengan posisi tempat duduk yang condong dan pemijak kaki yang tinggi namun menjadi kekok dengan posisi handlebar yang tinggi.  Seolah ketika motosikal ini di tahap akhir untuk produksi, pihak Aprilia buat keputusan untuk tukar handlebar yang tinggi semata-mata untuk menjual kepada penunggang biasa dan bukannya fokus kepada pengguna yang fokus tunggangan agresif dan di litar.  Hal ini menjadikan posisi tunggangan menjadi sangat kekok – seluruh tubuh sudah tunduk dan fokus ke bahagian hadapan motor namun bahu tersangkut di handlebar kerana posisinya yang tinggi.  Ketika mengambil selekoh ini juga menjadi masalah kerana kekurangan ruang untuk bahu bergerak dan kerap terganggu ketika melakukan pergerakan merubah arah. 

Kualiti Tunggangan (brek/suspensi/chassis)

RS457 dilengkapi dengan sistem brek dari ByBre – 1 rotor dengan 4 piston radial kaliper di bahagian depan dan 1 piston kaliper di bahagian belakang dengan 2 mod ABS.  Feedback ketika hard braking sangat mengecewakan – tuas brek dirasakan ‘spongy’ dan ABS respon dengan sangat pelik.  Salah satu jentera RS457 yang diuji mempunyai masalah ‘chattering’ yang teruk ketika hard braking yang berkemungkinan disebabkan oleh ABS yang mencuba untuk melepaskan tekanan brek. 

Suspensi USD hadapan dan monoshock belakang RS457 ini boleh dilaras preload untuk disesuaikan dengan kehendak penunggang.  Suspensi hadapan agak baik menyerap tekanan ketika ‘hard braking’ stabil ketika di dalam selekoh namun mono belakang terlalu lembut sehingga apabila krew Aprilia menukar setup yang lebih keras juga masih terasa berbuai ketika memasuki selekoh dan ketika keluar dari selekoh.  

Rangka aluminium dengan ‘wheelbase’ yang pendek memberikan jentera ini karakter yang sangat tangkas.  DNA perlumbaan Aprilia dari siri RS sangat menyerlah di RS457 ini.  RS457 ini tiada masalah untuk tangani selekoh teknikal SKC ini lagi-lagi ‘chicane’ yang rapat di T4, T5 dan T6.  Mengubah arah ketika di sudut condong yang rendah terasa sangat mudah tidak perlukan daya yang kuat.  

Penilaian Keseluruhan

Dengan tawaran harga jualan asas RM35,900.00 Aprilia RS masih boleh bersaing dengan jenama lain dalan segmen ‘middleweight’ sportbike.  Cuma jangan letakkan ekspektasi terlalu tinggi RS457 ini adalah pakej ‘sport’ yang lengkap seperti RS660 atau RSV4 kerana terlalu banyak penambahbaikan perlu dilakukan jika anda mahu untuk menikmati jentera ini di litar.  Kelihatan RS457 ini hanya cuba untuk menambat pasaran bajet rendah di segmen middleweight dan bukan mahu menjadi juara di segmen ini. 

Leave a comment

DEFENSIVE RIDING

“It doesn’t matter how good you are at riding a motorcycle, heck you could even be a GP rider. But you can’t control others on the road and there will always be that one dumbass that can potentially cause you lots of trouble. Stay safe, stay defensive and stay focused on your bike.”

~ Pak Mat Roger