Hari kedua Pusingan Kedua Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menyaksikan pasukan-pasukan di bawah naungan Rapido Malaysia mendominasi sesi kelayakan dan tampil hebat di pentas perlumbaan, meskipun berdepan cabaran teknikal di saat genting.

Dalam kategori ASB1000, pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon dari pasukan A1 Energy BMW yang ditaja Rapido, mencuri tumpuan apabila mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan, sekali gus meraih kedudukan petak utama (pole position). Rakan sepasukan beliau, Azlan Shah Kamaruzaman, turut menunjukkan rentak kompetitif apabila bakal memulakan perlumbaan di P5.

Namun begitu, perlumbaan menyaksikan drama tersendiri apabila Apiwath mengalami permulaan perlahan sebelum bangkit semula dari kelompok pertengahan untuk merebut tempat di kelompok hadapan. Malangnya, jentera beliau mengalami masalah mekanikal ketika baki tujuh pusingan, memaksanya mengundurkan diri. Azlan Shah juga tidak terkecuali apabila isu elektronik menjejaskan prestasi jentera, menyukarkannya untuk menyertai saingan kumpulan depan. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-7.

Dalam kelas AP250, pelumba muda berbakat Irfan Haykal bermula cemerlang apabila merekodkan P2 dalam sesi kelayakan, menunjukkan prestasi memberangsangkan di hadapan penyokong tempatan. Dalam perlumbaan, pelumba pasukan Maeztro NWN SCK Honda Racing Team, Irfan Ardiansyah, berjaya meraih tempat kedua di atas podium, manakala Haykal menamatkan saingan di kedudukan kelima, satu pencapaian konsisten bagi pasukan.

Kategori UB150 menyaksikan dominasi awal daripada Pitsbike Superfast JRT Racing Team apabila Akid Aziz meraih petak pertama (P1) dan Afif Amran di P2 semasa kelayakan. Shahrol Shazraz dari Estremo Yuzy Asia Team pula memulakan perlumbaan dari P5. Perlumbaan terpaksa dimulakan semula selepas insiden awal, namun pelumba JRT kekal tenang dan konsisten dalam saingan kumpulan hadapan.

Afif terpaksa akur di tempat ke-4 selepas pertarungan sengit pada pusingan terakhir, manakala Akid berjaya meraih tempat ke-3 dan menaiki podium. Pasukan wildcard TKKR Rapido Estremo Superfast Racing Team juga menunjukkan potensi besar apabila berada dalam kelompok hadapan, namun terpaksa memperlahankan jentera selepas bahagian bawah (belly pan) motosikal terjatuh di Turn 1.

Duo pelumba Estremo Yuzy pula menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat ke-13 dan ke-15, setelah bertarung dengan hebat dalam pelumbaan yang penuh insiden.

Rapido Malaysia terus menunjukkan kehadiran dominan di pentas ARRC, dan pasukan-pasukan di bawahnya kini bersedia untuk bangkit dengan lebih garang dalam aksi hari terakhir esok, disokong oleh ribuan penyokong tempatan yang membakar semangat di Litar Sepang.

Leave a comment

DEFENSIVE RIDING

“It doesn’t matter how good you are at riding a motorcycle, heck you could even be a GP rider. But you can’t control others on the road and there will always be that one dumbass that can potentially cause you lots of trouble. Stay safe, stay defensive and stay focused on your bike.”

~ Pak Mat Roger