
Pusingan ke-10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menutup tirainya dengan penuh gaya di Bandar Medini Iskandar, Johor. Aksi penutup musim ini menyajikan perlumbaan mendebarkan merentasi tiga kategori utama, menyaksikan kebangkitan pelumba yang cedera, pengesahan juara keseluruhan, dan dominasi pelumba muda.
CP150: Kebangkitan Dramatik Nazirul Izzat
Tumpuan utama terarah kepada kategori CP150 di mana Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencipta kejutan manis. Kembali daripada kecederaan patah kedua-dua tulang selangka, Nazirul mempamerkan semangat juang tinggi untuk memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’37.880s.
Perlumbaan berlangsung sengit dengan aksi saling memintas antara Nazirul, rakan sepasukan Kasma Daniel, dan gandingan pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Ahmad Afif Amran serta Md Akid Aziz. Walaupun Kasma terjatuh pada pusingan ke-10, saingan di kelompok hadapan kekal panas sehingga garisan penamat. Akid Aziz menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Ahmad Afif Amran di tempat ketiga.
Kemenangan ini cukup bermakna buat Nazirul sebagai simbol usahanya untuk bangkit semula. Bagi kedudukan keseluruhan musim, Ahmad Afif Amran kekal gah sebagai Juara Keseluruhan CP150 yang telah disahkan sejak Pusingan 8, diikuti oleh Kasma dan Akid.

CP125: Khairi Menyerlah, Izam Ikmal Juara Mutlak
Dalam kategori CP125, Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM tampil cemerlang menjuarai perlumbaan akhir ini dengan catatan masa 11’23.690s. Khairi bijak memintas pendahulu awal, Md Adie Putra Sukarno, pada pusingan kedua dan mengekalkan konsistensi sehingga tamat, meninggalkan Md Farid Hakimi dan Arash Tsunami di tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING. Memerlukan hanya satu mata untuk mengesahkan kejuaraan, Izam mengambil pendekatan strategi selamat dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Keputusan itu sudah memadai untuk menobatkan beliau sebagai Juara Keseluruhan CP125 bagi musim 2025 selepas mengharungi saingan musim yang sengit.

WIRA KBS: Aksi Memukau Raiyan Khardanee
Kategori WIRA KBS tidak kurang hebatnya walaupun perlumbaan sempat dihentikan seketika akibat tumpahan minyak. Selepas perlumbaan disambung semula, Raiyan Khardanee M Sanusi dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING terus memacu laju meninggalkan pesaing dengan jurang masa yang selesa (3 saat) untuk bergelar juara pusingan ini dengan masa 6’14.708s.
Rakan sepasukan Raiyan, Farres Putra Md Fadhill menduduki tempat kedua, manakala Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki di tempat ketiga. Bagi gelaran keseluruhan musim, Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM telah pun disahkan sebagai juara pada pusingan terdahulu, dengan Farres dan Raiyan melengkapkan kedudukan tiga teratas keseluruhan musim ini.
Dengan berakhirnya pusingan di Johor ini, tirai musim 2025 dilabuhkan dengan penuh emosi dan kejayaan, menjanjikan saingan yang lebih hebat pada tahun hadapan.



Leave a comment