Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha Tenere 700 baharu, sebuah motosikal adventure touring yang direka untuk penunggang yang mencari penerokaan dan keyakinan untuk melangkah lebih jauh.
Seiring dengan gaya hidup penunggang Malaysia yang semakin cenderung memilih aktiviti kembara (touring) dan penjelajahan rentas sempadan, Tenere 700 menawarkan keseimbangan antara keselesaan perjalanan jarak jauh dan keupayaan lasak (off-road), menjadikan setiap perjalanan lebih yakin dan bermakna.

Mengulas mengenai perkembangan pasaran, Encik Loh Heng Choy, yang baru dilantik sebagai Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor, berkata: “Segmen motosikal berkuasa tinggi di Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, dengan jumlah industri meningkat dengan ketara dari 2024 ke 2025. Lebih penting, segmen melebihi 500cc berkembang pesat, manakala kategori adventure khususnya dalam julat pertengahan semakin mendapat momentum. Trend ini juga mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan penunggang untuk mengembara dan meneroka lebih jauh.”
Tenere 700 yang diperkenalkan kepada rakan media, content creator serta pasukan sukan permotoron Yamaha itu diperkenalkan dalam satu pilihan warna eksklusif – Adventure Blue, warna yang lebih menyerlah dan moden, diinspirasikan daripada langit tanpa sempadan, melambangkan kebebasan serta semangat untuk meneroka tanpa had.
Model terbaharu ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang meningkatkan prestasi serta pengalaman touring.

Antara pembaharuan utama adalah pengenalan Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) buat pertama kali pada enjin CP2, yang memberikan respons pendikit lebih lancar dan tepat. Penunggang kini boleh memilih antara dua mod tunggangan – SPORT untuk prestasi lebih agresif, dan EXPLORER untuk penghantaran kuasa yang lebih halus, sesuai untuk perjalanan jarak jauh dan laluan mencabar.
Keselesaan juga dipertingkatkan dengan posisi tunggangan yang lebih ergonomik melalui tempat duduk rata dan footrest yang lebih besar. Dari segi ketahanan, motosikal ini dilengkapi dengan sistem suspensi Monocross jenis pautan yang dikemas kini serta fork hadapan upside-down 43mm yang boleh dilaras.
Tenere 700 turut dilengkapi dengan sistem ABS boleh laras 3 mod serta Traction Control System (TCS) yang boleh diaktifkan atau dimatikan, memberi fleksibiliti kepada penunggang mengikut keadaan jalan termasuk off-road.
Bagi kemudahan penggunaan, model ini menampilkan switchgear baharu yang lebih intuitif, termasuk fungsi isyarat tiga kali dan pembatalan automatik.
Untuk pencahayaan yang lebih baik, motosikal ini dilengkapi dengan lampu hadapan quad LED baharu, memastikan penglihatan lebih jelas ketika tunggangan malam.
Paparan TFT bersaiz 6.3 inci dengan sambungan dan navigasi turn-by-turn turut meningkatkan pengalaman tunggangan, menawarkan dua pilihan tema paparan – Sport dan Explorer yang dipadankan dengan sistem navigasi, serta dilengkapi port USB Type-C untuk kemudahan sepanjang perjalanan jauh.
Yamaha Tenere 700 ditawarkan pada harga RM 58,998.00. Harga ini mencerminkan komitmen Hong Leong Yamaha Motor untuk menjadikan adventure touring lebih mudah dimiliki, sekaligus membuka peluang kepada lebih ramai penunggang untuk menikmati pengalaman eksplorasi tanpa batas.



Leave a comment