
Pihak Malaysian Riders baru-baru ini telah berpeluang untuk berkampung selama 3 hari berturut-turut di litar Antarabangsa Sepang bagi membuat liputan secara khusus buat kejohanan SIC Ninja 250R Cup yang diwujudkan bagi menggantikan kategori yang terdahulu dimana ia dipelopori oleh jentera 2 lejang.
Namun kali ini kami tidak berminat untuk membincangkan tentang perkara sedemikian tetapi lebih kepada perkembangan yang sedang berlaku dalam arena sukan permotoran tanah air. Apa yang pasti, kami mendapati terdapat aura atau tenaga baru yang sedang membuat anjakan terhadap arena permotoran tempatan kini. Apa yang mendorong perkembangan ini berlaku dan perkembangan dari segi apa yang kami katakan ini?
Perkembangan yang dikatakan adalah dari segi kesedaran orang ramai terhadap pembanggunan sukan permotoran yang semakin serius dan mereka juga tidak lari daripada menyokong perkembangan tersebut. Apa yang pasti, orang ramai kini lebih tahu tentang kewujudan bakat-bakat tempatan yang berpotensi untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Mungkin secara terang-terangannya ia didorong oleh kejayaan dua pelumba negara yang berjaya membuktikan kualiti penunggang tempatan juga setanding penunggang luar seperti yang berlaku dalam kejohanan Moto3 dan Moto2 baru-baru ini. Ini dimana, kejayaan Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin untuk memberi saingan dan dalam satu masa mendahului perlumbaan sememangnya memberi semangat baru kepada sukan permotoran tempatan kini.

Namun begitu, sukan permotoran khususnya 2 tayar ini masih memerlukan perhatian dari pihak yang berwajib atau berkemampuan untuk membantu mengurangkan kos untuk bakat-bakat muda yang boleh dicungkil untuk berkembang. Kami memuji langkah yang diambil dari pihak SIC untuk menganjurkan kejohanan 250R Ninja Cup, namun masih banyak yang boleh diperbaiki agar ia menjadi satu platform yang mudah dan lebih mesra kos kepada bakat-bakat baru.
Badan koperat juga perlu memberi perhatian terhadap pembanggunan industri sukan permotoran ini dan turut mengambil bahagian untuk menjayakannya. Namun, kami menegah sekeras-kerasnya kepada pihak-pihak ini agar tidak terlalu mementingkan pulangan dalam kadar segera kerana sukan ini perlukan bantuan yang konsisten berbanding bantuan besar yang hanya datang sekali sekala. Apa pun, kami dari pihak Malaysian Riders akan sentiasa menyokong industri sukan permotoran tempatan agar ia satu hari menjadi industri yang maju di Malaysia.
Satu perkembangan yg sihat untuk malaysia. Jika usaha diteruskan pasti akan membuahkan hasil.