
Pernahkan anda sebagai peminat sukan permotoran atau anda sendiri sebagai penunggang di Malaysia ini terfikir tentang bagaimana perasaan untuk menyertai perlumbaan Isle of Man TT? Adakah pelumba dari Malaysia akan menjejakkan kaki untuk menyertai kejohanan tersebut. Ini yang sedang menjadi permainan dalam benak fikiran kami akhir-akhir ini.
Isle of Man TT merupakan sebuah kejohanan yang sememangnya memerlukan kebolehan pengendalian jentera yang hebat dan juga memerlukan keberanian yang tinggi. Perlumbaan yang dijalankan diatas jalan biasa yang ditutup bagi acara Isle of Man ini mempunyai pelbagai cabaran dalam keadaan kelajuan yang tinggi. Sedikit sahaja kesilapan, pasti ia akan menyebabkan kecederaan yang serius.

Jadi adakah mungkin kita dapat melihat penunggang dari Malaysia untuk menyertai kejohanan ini. Bukan dari Malaysia sahaja, tapi dari rantau asia tenggara ini seperti penunggang dari Indonesia, Thailand dan sebagainya. Kita mempunyai ramai penunggang yang berkebolehan, cuma apa yang perlu kini adalah penajaan dan sokongan padu dari pelbagai pihak.
Tetapi, selain dari itu; adakah mungkin perlumbaan seperti Isle of Man ini dapat dianjurkan di Malaysia. Kita juga mempunyai jalan yang menarik dengan permukaan muka bumi yang mencabar. Kuala Klawang yang telah lama menjadi lokasi kepada peminat atau penunggang-penunggang motosikal tanpa mengira saiz untuk menikmati selekoh-selekoh yang memberi kepuasan. Tetapi ia mendatangkan bahaya apabila dikongsi dengan kenderaan lain dan juga orang awam.
Mungkin pihak berwajib boleh mencuba untuk menganjurkan sebuah kejohanan yang hanya diadakan sekali dalam satu tahun untuk penunggang-penunggang dari rantau Asia ini. Industri permotoran dan sukan ini perlu dibangunkan dengan lebih banyak kejohanan yang boleh mengasah bakat tempatan untuk terus berjaya dan tidak sekadar mengharap kepada kejohanan sedia ada seperti Cubprix atau Malaysian Super Series yang sedia ada bagus. Namun, kita perlukan lebih dari itu sekiranya Malaysia atau negara lain ingin melihat nama penunggang yang menyertai kejohanan seperti MotoGP atau World SBK lebih dari seorang atau lebih dari sekadar wakil.
Tidak mustahil pelumba kita akan kesana. Pelumba-pelumba muda kita seperti Zulfahmi telah menunjukan prestasi yang hebat. Teruskan usaha, pasti boleh.