
Kemajuan sesebuah negara dalam sektor sukan permotoran boleh diukur dengan sejauh mana dan pada tahap mana konsisten sesebuah negara tersebut melahirkan pelumba yang berbakat dan boleh bersaing pada peringkat antarabangsa seterusnya menjadi juara dunia dan mengharumkan nama negara. Negara-negara Eropah dan benua Amerika sememangnya terbukti menjadi penyumbang terbesar kepada kelahiran jaguh-jaguh dunia dalam bidang ini.
Di Malaysia pula, kita masih lagi belum dapat mencapai tahap tersebut dan ini bukanlah sesuatu yang terlalu menghairankan apabila difikirkan semula dengan sejarah sukan permotoran kita yang masih muda jika dibandingkan dengan negara Eropah dan sebagainya. Namun begitu, kita perlu lebih pantas dalam mengejar dan lebih efisyen dalam melaksanakan perancangan bagi meningkatkan kualiti sukan permotoran tempatan selain perlu lebih telus daripada hanya memikirkan tentang keuntungan jangka masa pendek.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai ruang yang masih banyak dan tenaga kerja yang masih ramai untuk melaksanakan pembanggunan menyeluruh dalam sektor sukan ini khususnya sukan permotoran. Apa yang perlu difokuskan buat masa ini adalah perlunya ada pihak yang memberi pandangan serius terhadap isu kekurangan kawasan untuk menjalankan sukan ini secara selamat. Jumlah litar yang terlalu kecil di Malaysia ini menjadi satu punca kenapa kita masih belum boleh melahirkan 10 hingga 20 pelumba berkaliber setiap 5 tahun hingga 10 tahun.
Ini kerana kurangnya litar yang bersesuaian di Malaysia ini dengan hanya terdapat 2 sahaja litar yang berskala besar manakala yang lain hanya berskala kecil dan tidak mencecah puluhan litar. Apa yang perlu di Malaysia ini adalah litar yang mempunyai saiz sederhana yang boleh digunakan oleh motosikal berkuasa sederhana dan keatas serta jentera 4 roda. Pembanggunan ini perlu dijalankan secepat mungkin bagi memantapkan lagi industri permotoran tanah air dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai salah satu kuasa besar dalam sukan permotoran di rantau Asia ini.
Jumlah litar yang diperlukan adalah dalam 4 hingga 5 buah litar termasuk litar sedia ada iaitu litar antarabangsa Sepang dan litar Pasir Gudang. Dengan adanya pertambahan litar ini, pihak pengurusan tempatan boleh bekerjasama dalam menjayakan sebuah siri perlumbaan yang boleh dijalankan sepanjang tahun dengan pertukaran suasana dan memberi cabaran yang lebih mantap bagi memberi persedian kepada bakat tempatan untuk beraksi bersama pelumba dari luar seperti dari Eropah.
Apapun, kami di Malaysian Riders berhasrat untuk meneruskan perjuangan kami sebagai pihak media permotoran tempatan dalam memberi liputan terbaik untuk sukan permotoran tempatan. Teruskan bersama kami di Malaysian Riders dan sila LIKE laman FACEBOOK kami dan SUBSCRIBE kepada YOUTUBE CHANNEL kami untuk mengikuti perkembangan kami dengan lebih mudah.