Honda PCX dilancarkan pada penghujung tahun lalu dan entah mengapa pihak Malaysian Riders tidak dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran jentera tersebut. Namun atas dasar cintakan industri permotoran tanah air dan minat yang mendalam dari pihak Malaysian Riders, kami tetap akan berkongsi dengan pembaca kami tentang jentera Honda PCX yang sempat kami tunggang uji seketika.
Dari pandangan pertama, jentera Honda ini tampak begitu aneh namun menarik untuk dilihat dengan reka bentuk yang agak dramatik dan ia juga menonjolkan ciri-ciri rekabentuk moden yang menjadi norma terhadap pembuat motosikal masa kini. Jadi dari situ, pandangan pertama memainkan peranan kerana buat masa ini jentera yang boleh dikatakan agak mahal ini dengan harga RM11,000 diatas jalan; ia masih lagi baru dan agak unik kerana jarang untuk kita melihatnya beraksi.
PCX dilengkapi dengan enjin SOCH 4-Lejang dengan 2 injap dan merupakan enjin yang mempunyai konfigurasi satu silinder serta berkapasiti 153cc. Jadi oleh itu, agak mengecewakan pada pihak kami kerana dari segi reka bentuknya yang menarik enjin yang digunakan pula berkapasiti kecil. Tetapi disinilah juga kami telah membuat kesilapan untuk membuat tanggapan sedemikian. Sebaik menunggang jentera ini, sememangnya menakjubkan dengan kuasa yang dihasilkan motosikal ini. Kami agak terpegun dengan motosikal keluaran Honda ini apabila ia berjaya memukau kami dengan kelajuan yang cukup pantas untuk kami gunakan didalam bandar dan diatas lubuhraya.
Tiada masalah untuk jentera ini mencapai 120km/j dengan seorang penunggang bersaiz sederhana dan ini memberitahu kami bahawa jentera ini mampu mencecah 140km/j atau mungkin lebih. Tunggangannya lebih stabil dan selesa dengan tempat duduk yang luas untuk penunggang mahupun pembonceng. Seperti mana dengan keluaran Honda sebelum ini (Honda Future), mereka mula menerapkan ruang simpanan dibawah tempat duduk dengan saiz yang cukup besar sehingga mampu menyimpan helmet Fullface tanpa sebarang masalah.
Satu perkara yang unik tentang jentera ini adalah sistem IDLING STOP yang akan mematikan enjin apabila jentera berhenti selepas 2 hingga 3 saat dan hany perlu memulas throttle sahaja bagi menghidupkan enjin semula dan menyambung perjalanan. Ini secara logiknya akan menjimatkan minyak dari tangki 5.9L yang digunakannya. Jadi apapun, kami akan sajikan kepada anda semua dalam musim pertama Malaysian Riders TV secara berepisod tentang jentera ini dengan lebih mendalam. Apa yang anda perlu lakukan sekarang adalah tunggu dan sila LIKE dan SUBSCRIBE kepada Malaysian Riders untuk mengikuti perkembangan kami dengan lebih dekat.