Respek! itu yang kami pertama sekali kami dapat katakan apabila mendengar berita tentang sebuah program jelajah yang bakal berlangsung lebih kurang 2 minggu dari sekarang. Mungkin akan ada suara-suara sumbang yang akan menyatakan bahawa tiada apa yang istimewa tentang jelajah sebegini, mungkin akan ada yang mengatakan program ini sebagai sebuah perkara yang biasa.

Namun begitu, pada pendapat kami ini merupakan sebuah program yang hebat dimana bukan sahaja perjalanan sejauh 7000km bakal ditempuhi oleh 3 penunggang yang terlibat. Malah mereka perlu bekerja keras bagi menghadapi cabaran ini dengan hanya menunggang jentera berkuasa kecil dari segmen moped. 3 model berlainan akan digunakan dari Modenas iaitu model terbaru ACE 115, GT128 dan juga MR1.

Inisiatif hebat dari Bikers Cover Magazine (BCM) dengan kerjasama bersama MODENAS ini bakal mencipta sejarah dan ia juga akan cuba membuktikan bahawa jentera kecil itu juga mampu untuk menempuh cabaran hebat ini yang sememangnya sinonim dalam dunia penjelajahan motosikal lasak. Sehubungan itu, kami dari pihak Malaysian Riders menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh pihak BCM dan MODENAS.
Dalam pertemuan ringkas kami bersama wakil BCM sendiri baru-baru ini, mereka menyatakan bahawa persiapan kini telah memasuki fasa terakhir dan segala jenis sokongan yang diberikan oleh mana-mana pihak amat dihargai dan kami dari pihak Malaysian Riders juga akan turut menyokong usaha yang dijalankan ini dengan memberikan liputan kepada usaha mereka. Mereka akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 13hb Mei ini dan kami akan cuba bawakan sedikit liputan sebelum perlepasan mereka ke Sarawak.
Apapun, kami ucapkan selamat maju jaya kepada 3 orang penunggang yang akan terlibat dan kami ucapkan selamat maju jaya.



Leave a comment