
Terkilan sedikit kami apabila disaat akhir perlumbaan pelumba negara Zulfahmi Khairuddin terjatuh dari motosikalnya dan memaksa dia untuk meneruskan perlumbaan selepas ketinggalan jauh dan akhirnya tidak diklasifikasikan selepas tamat perlumbaan.

Terkilan kami melihatnya, terkilan lagi penunggang kebanggaan kita itu. Zulfahmi yang bermula dari petak ke-10 berjaya mendapatkan tempat ke-2 pada awal perlumbaan. Keadaan yang sukar menyaksikan beberapa penunggang lain turut terjatuh sepanjang perlumbaan dan Fahmi masih mengekalkan rentaknya dihadapan.

Namun, inilah namanya perlumbaan. Apa sahaja boleh berlaku dan setiap keputusan yang diambil semasa perlumbaan akan memberikan impak yang besar kepada hasilnya. Jadi, dengan ini kami harapkan Zulfahmi akan belajar dari kegagalan ini dan teruskan usaha untuk menjadi yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya yang akan berlangsung di litar Catalunya, Sepanyol.