Sebelum ini kami menerbitkan satu artikel berkenaan berita penutupan litar Elite USJ SPEEDWAY dan ia mendapat reaksi yang sangat menakjubkan. Rata-rata netizen menzahirkan rasa marah dan kecewa ke atas penutupan trek tersebut. Ini jelas menunjukkan betapa sayangnya peminat sukan permotoran terhadap litar kecil ini yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Elite.
Bantahan yang disuarakan oleh peminat sukan permotoran tanah air menzahirkan suatu kenyataan yang selama ini tersimpan – bahawa litar kecil ini adalah sangat penting bagi mereka selama ini. Banyak pihak yang menggunakan litar ini sebagai platform permulaan dalam sukan permotoran dan ruang yang selamat untuk melampiaskan minat yang mendalam dalam sukan ini. Berita penutupan litar pastinya memberi impak kepada mereka kerana litar inilah satu-satunya litar yang tersedia di Lembah Klang. Tanpa litar kecil ini, mereka tiada tempat lagi untuk melakukan aktiviti sukan permotoran dengan selamat.
Litar ini banyak digunakan oleh penunggang motosikal untuk latihan dan riadah dengan selamat. Dengan yuran yang berpatutan, litar ini menjadi pilihan kerana memberikan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna. Litar besar seperti Litar Antarabangsa Sepang pula terlalu mahal bayarannya selain tiada slot untuk penunggang motosikal berkuasa rendah. Ramai penunggang kini sedar akan bahaya yang menanti di jalan raya, mula beralih ke aktiviti di dalam litar yang jauh lebih selamat. Jelas litar kecil seperti ini banyak membantu para pencinta sukan permotoran untuk menyalurkan semangat mereka di tempat yang sepatutnya, bukan di jalan raya lalu membahayakan diri dan pengguna yang lain.
Karnival Sukan Bermotor Negaraku yang berlangsung di
Litar Elite USJ SPEEDWAY baru baru ini.
Sumber: Facebook Karnival Sukan Bermotor Negaraku
Pada perasmian Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 di Tangkak yang lepas, Menteri Belia dan Sukan YAB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata mereka berhasrat untuk membina sekurang-kurangnya satu litar lumba di setiap negeri. Berita baik ini seharusnya dipandang positif oleh masyarakat umumnya bagi membanteras kegiatan tidak sihat di atas jalan raya selain dapat mencungkil lebih banyak bakat-bakat baru dalam sukan permotoran negara. Tidak dinafikan, pelumba-pelumba hebat kita masa kini bermula dengan trek-trek kecil seperti Elite USJ ini dan jika ditambah lagi bilangan litar semestinya kita bakal mempunyai lebih ramai pelumba yang hebat untuk berjuang diperingkat antarabangsa. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, komuniti sukan permotoran pastinya menerima impak paling positif kerana mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk beraksi. Lihat saja apabila Litar USJ ditutup sementara, banyak pihak gusar dan buntu kerana tiada tempat lain yang boleh digunakan untuk bersukan dengan selamat.
YAB KHAIRY (depan, tengah) menunggang motosikal mengelilingi litar sempena majlis perasmian Tangkak Racing Track dan
Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 tahun di Tangkak
Sumber: Kosmo Online
Dengan segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak litar, kita sebagai komuniti pencinta sukan permotoran hendaklah menyokong acara-acara yang dilaksanakan di litar tersebut. Ini dapat memberikan maklumat positif kepada pihak pengurusan dan penaja untuk terus melaksanakan acara yang lebih baik di masa hadapan. Kehadiran dan sokongan adalah nadi utama kelangsungan litar-litar yang masih beroperasi sekarang ini. Dengan itu, diharapkan semua pihak akan lebih peka dan menyelidik sesuatu berita yang diterima, terutamanya membaca artikel sehingga habis.