Siri Kawasaki 650cc hadir dengan pelbagai pilihan reka bentuk dan salah satunya adalah Z650RS yang menampilkan gaya sport retro. Padanan lampu bulat, tangki minyak rendah yang memanjang dan panel meter bulat memberikan aura motosikal 70an.
1. KUALITI BINAAN
Kawasaki benar-benar berjaya menghasilkan sebuah jentera dengan konsep retro. Kemasan hitam dengan gandingan warna emas menyerlahkan estetik retro motosikal ini. Z650RS ini berjaya menggabungkan rekabentuk retro bersama teknologi terkini. Walau dengan meter analog untuk speedometer dan tachometer, paparan digital di tengah meter membantu penunggang untuk melihat data tunggangan yang lain seperti sukatan minyak, suhu enjin, kedudukan gear, mode tunggangan dan perbatuan. Sesuatu yang agak mengagumkan pelbagai maklumat berjaya dipaparkan di dalam ruang yang kecil sahaja di antara dua meter analog tersebut. Kemasan chrome di meter analog memberi kemasan eksklusif untuk jentera ini namun apabila ditunggang pada waktu tengah hari, pantulan matahari pada panel meter tersebut sedikit sebanyak mengganggu pandangan penunggang.

2. ENJIN
Dikuasakan dengan enjin 649cc 4 lejang parallel twin menghasilkan lebih kurang 68 kuasa kuda dan 64Nm tork jentera ini sememangnya cukup berkuasa untuk tunggangan santai di lebuhraya atau tunggangan agresif di laluan berbukit. Power delivery enjin siri Z650 terbaru dari Kawasaki ini sangat smooth dan tiada jerking ketika berada di rpm rendah. Dengan 3 mode riding, penunggang boleh memilih bantuan tunggangan yang sesuai untuk setiap tunggangan. Fokus enjin ini ditala untuk tunggangan pada rpm rendah dan pertengahan memberi kelebihan untuk tunggangan di dalam bandar di dalam trafik yang sibuk.

3. KUALITI TUNGGANGAN (BREK/SUSPENSI/CHASSIS)
Dilengkapi dengan sistem brek daripada Nissin, 2 rotor hadapan bersaiz 300mm dan rotor belakang bersaiz 220mm serta sistem ABS cukup untuk memberhentikan jentera berkuasa ini. Sistem suspensi pula ditala untuk tunggangan selesa (comfort riding). Dengan tempat duduk yang rata hingga ke belakang, perjalanan jarak jauh tidak meletihkan dan menyeronokkan. Geometri tunggangan yang relaks menjadi nadi utama jentera ini. Handlebar yang melengkung ke dalam membuatkan penunggang lebih tegak dan jentera mudah dikendalikan walau dalam trafik yang sesak untuk mencelah.
4. PENILAIAN KESELURUHAN
Z650RS ini menepati citarasa penunggang yang inginkan motosikal middleweight dengan estetik retro yang tidak tenggelam ditelan zaman. Penunggang yang inginkan jentera yang ringan dan mudah dikendalikan pastinya tertawan dengan Z650RS ini. Dengan tawaran harga RM37,200.00 jentera ini sangat berbaloi untuk dimiliki bagi penunggang baharu atau penunggang yang mahukan jiwa klasik di era moden ini.
Penunggang Uji & Penulis: JayKay



Leave a comment