
Artikel ditulis oleh: Fariedz Mokhtar
Pernahkah ia terjadi pada anda? Apabila kita berbual bersama kenalan berkenaan dunia permotoran, pasti ada yang menyatakan industri permotoran Malaysia kini semakin hambar; bila difikirkan kembali memang ada kebenarannya. Apa yang kerap berlaku adalah pabila terdapat acara permotoran yang dilangsungkan seperti perlumbaan motosikal peringkat akar umbi atau tempatan, hanya sebilangan perminat atau penyokong sahaja yang hadir; itupun ia terdiri dari rakan-rakan dan ahli kelurga pelumba sahaja. Ya, memang kejadian itu melibatkan banyak faktor, namun sedikit sebanyak ia melibatkan kesuraman industri permotoran tempatan itu sendiri.
Rintihan peniaga-peniaga motosikal juga sering didengari yang menyatakan jualan motosikal; terutamanya 250cc ke atas tidak semeriah dahulu. Semakin ramai yang fokuskan pada motosikal kapcai yang lebih “reliable” dan mudah atau murah diselenggara. Ini semakin menekan pihak penjual untuk mengadakan pelbagai promosi dan mungkin juga memberi rebat bagi menarik pembeli berpotensi. Perbezaan ini ketara jika dilihat bagaiman pada awal 2009 sehingga sekitar 2014 (anggaran) yang mana industri ini penuh rancak.
Fonemona yang semakin jelas kelihatan ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan ekonomi negara kita yang kian menekan. Pengguna tidak lagi membelanjakan wang mereka pada barangan yang dianggap sebagai hobi atau “keinginan” tetapi lebih fokus kepada keperluan. Ia membuatkan mereka memilih untuk meggunakan motosikal kapcai atau skuter sebagai pilihan. Bukan sahaja ianya mudah untuk diselenggara dan lebih ekonomikal, malah kapcai yang digunakan mampu bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya jika dijaga dengan baik. Ini menyebabkan tiada keperluan untuk pengguna menggantikan motosikal yang baru. Ia sekali gus mengurangkan kekerapan pelanggan untuk membuat pembelian motosikal yang baharu.

Pada pengamatan penulis; budaya permotoran di luar negara nampak lebih memberangsangkan kerana kebanyakan mereka lebih “passionate” terhadap motosikal dan bukan lah hanya mengikut trend dan rakan-rakan. Kenyataan tersebut bukan untuk menggambarkan bahawa keseluruhan rakyat malaysia hanya mengikut trend semata-mata. Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segilintir dari mereka yang hanya mengikut musim sahaja dan menganngap ia merupakan satu simbol kemewahan jika mempunyai motosikal berkuasa besar. Tetapi terdapat juga individu-individu dari kalangan kita yang terus mengusahakan minat mereka dalam dunia permotoran 2 roda dia tanah air seperti yang pernah pihak kami laporkan sebelum ini.
Kesimpulan pada persoalan artikel ini adalah lebih menjurus kepada; adakah industri permotoran kita benar-benar suram atau ia hanya peringkat sementara yang dilalui oleh arena permotoran tempatan. Banyak syarikat jualan motosikal yang berkongsi dengan kami bahawa jualan semakin sukar dan bertambah kompetitif, di samping itu; program sukan permotoran tetap dipandang hambar oleh masyarakat atau badan koperat yang mengakibatkan penglibatan mereka kian merosot dan renggang. Aktiviti jentera 2 roda juga kini tampak lebih dipandang negatif dan membuang masa jika ditanya kepada masyarakat umum sehingga ada yang melabel dan memberi gelaran yang kurang enak untuk didengar. Apapun yang berlaku, kita sebagai penggiat dan peminat arena permotoran 2 roda perlulah melakukan sesuatu dalam memberikan nilai positif kembali kepada industri permotoran ini agar ia boleh berkembang maju dan menjadi lebih menarik.